ceretera yang keenam belas – Muhammad Haji Salleh
“Kata sahibu’l-hikayat, ada
beberapa lamanya maka Hang
Kasturi pun berkehendak dengan
seorang dayang-dayang
yang dipakai oleh raja di dalam
istana.”
anum, kupilihmu dari
seratus dayang istana
kerana kau melembutkan
suaraku,
memulakan rindu kepada
malam,
memadamkan marah
kepada sultan.
anum, kupilihmu dari
seratus kampung.
kini, di tengah malam
bening
kita berdua hanya,
beraja di istana ini,
aku sultan dan kau
permaisuriku,
pasang-penuhlah hidup
ini untuk sekarang,
bulan yang bergantung
di tiang layar
dan memasukkan
bayangannya ke muka selat
tentu faham bagaimana
aku kasih kepadamu.
dan ghairah sebesar
ini
tak perlu esok.
malam ini
kita kumpulkan
segala yang ada pada
dua manusia muda
di dalam suatu mangkuk
waktu agung.
tapi kalau ada esok
kita akan berkasih
lagi
pada esok hari,
jikalau tiada,
malam ini telah kita
sempurnakan
secara manusiawi.
kupilihmu anum
dari seluruh jagat
tuhan
Ulasan
Catat Ulasan