Ceretera yang kedua puluh enam (ii) – Muhammad Haji Salleh

Maka kata bendahara, “Akukah pak si bendul, engkaukah
pak si bendul? Jika ada gajah yang baik atau kuda
yang baik, pinta olehmu kepada aku. Akan pekerjaan
demikian itu, di mana engkau semua tahu?”

kau orang muda terlalu cepat menghukum,
terlalu suka menuduh.
sabar dulu, sehelai halaman kitab tidak menjadikan ulama,
walaupun kau menghunus keris dan memaksa
sekampung manusia memanggilmu demikian.
hidup perlukan usia,
jangan terlalu tau di waktu kau belum faham.

naiklah dulu ke serambi, mari kita berbicara.
tanjung, buatkan serbat.

bagaimana engkau semua?
mengganggu anak dara orang
dan berlagak di pasar sahaja?

engkau semua anak buahku
betapa sayang aku kepadamu
apa yang aku punyai ambillah,
tapi melaka lebih penting dari keluarga.

gajah yang baik akan kau buat menunggang
dan berburu, seperti juga kuda yang tegap.
tetapi kau tidak dapat menggunakannya
untuk menjaga negeri.
jadi aku berikannya kepada laksamana,
di penghulu hulubalang kita.

binasalah negeri ini
jikalau bendaharanya memikirkan keluarga
dan melupakan negeri,
mengumpul bungkal emas
dan berniaga di waktu dia harus menasihat raja,
kerana kau keluarga
kau mesti berkongsi kesusahan ini
tanggungjawabku jatuh di bahumu juga.

aku pak si bendul,
tapi pak si bendul untuk jalan betul.

Sajak-sajak Sejarah Melayu, 1981

Ulasan

Catatan Popular