Wawancara T. Alias Taib
oleh: Wan Nizar Wan
Taib dan Sirai Daha
![]() |
T. Alias Taib |
Penumpuan khusus
kepada puisi membolehkan T. Alias Taib muncul sebagai penyair yang prolifik dan
mapan. Beliau bermula dengan puisi berjudul “Persembahan” yang muncul dalam
majalah Angkatan Baru pada Oktober
1964. Sejak itu T. Alias Taib telah berjaya menghasilkan 5 buah kumpulan puisi
iaitu Laut Tak Biru di Seberang Takir, Pemburu Kota, Opera, Seberkas Kunci, dan
Piramid.
Dibesarkan di Kuala Terengganu,
T. Alias Taib mendapat pendidikan awal di Sekolah Melayu Gong Kapas. Kemudian
beliau melanjutkan pendidikan menengah beliau di Sekolah Menengah Sultan
Sulaiman (Inggeris), Kuala Terengganu. Kini beliau berkhidmat di Sekolah
Kebangsaan Wangsa Jaya, Setapak, Kuala Lumpur.
Walaupun pada peringkat awal,
beliau terpengaruh oleh karya-karya Rendra dan Latiff Mohidin, tetapi akhirnya
T. Alias Taib menemui identiti beliau sendiri. Semua ini diperoleh melalui
eksperimen beliau yang tidak jemu-jemu. Kewibawaan beliau dalam menghasilkan
karya-karya puisi jelas terbukti apabila beliau berjaya memenangi Hadiah
Sastera (puisi) sebanyak dua kali berturut-turut (1975 dan 1976).
Sebelum itu pada tahun 1974
beliau telah memenangi hadiah sagu hati Sayembara Puisi Kuala Lumpur, anjuran
GAPENA. Pada tahun 1992, melalui kumpulan puisi beliau Piramid, beliau terpilih
untuk memenangi Hadiah Sastera 1990/91 bagi bidang puisi.
Penggunaan bahasa yang mudah dan
biasa, tatabahasa yang terkawal, dihiasi pula dengan metafora yang kuat,
memungkinkan kita dengan mudah mengenali puisi-puisi beliau. Umar Junus dalam
artikel beliau “Berhadapan dengan Seberkas Kunci dari T. Alias Taib” (1985)
yang termuat dalam Dewan Sastera
keluaran Mei 1986, menulis bahawa puisi-puisi T. Alias Taib:
“… memang menggunakan bahasa yang biasanya diistilahkan sebagai bahasa yang indah, dengan mengucapkan hal-hal yang tidak aneh bagi kita, hanya kini diucapkan dengan cara yang berlainan. Dengan kata lain dapat barangkali dikatakan bahawa sesuatu yang biasa menjadi sesuatu yang segar bagi kita kerana cara pengucapannya….”
Muhammad Haji Salleh telah juga
memberi pendapat beliau dalam pengantar kepada kumpulan puisi Piramid T. Alias Taib, bahawa:
“… antara beberapa orang penyair Malaysia semasa, T. Alias Taib telah mencipta peribadi puisi yang khusus dan cukup istimewa. Pembaharuan dalam bentuk dan pengucapan, sudut pandangan dan juga kepekaan kata memberinya suatu daya tarik yang tidak sering kita temui hari ini.”
Dari segi pembawaan
tema, T. Alias Taib memberi penumpuan kepada hal-hal berkaitan kemanusiaan,
alam, penderitaan, dan falsafah. Semua ini dicungkil daripada pemerhatian
beliau terhadap kehidupan seharian, sebagaimana kata beliau:
“… Melalui kehidupan seharian, kita mampu menceritakan seribu kisah dan peristiwa yang menarik di sekitar kehidupan kita. Ini bagaimanapun perlu ada usaha mengumpul dengan penuh teliti kerana bukan semua peristiwa yang kita lihat sesuai untuk kita menulis.”
Melalui karya-karya beliau, T.
Alias Taib telah cuba menyedarkan manusia tentang kesalahan yang ditempuhi oleh
masyarakat, sekali gus membawa pembaca memahami kehidupan, tentu sahaja dengan
menyodorkan kepada mereka pandangan beliau tentang kehidupan itu. Kerana itu,
Alias cuba membawa pembaca beliau kepada dunia yang beliau kenali dengan
membangkitkan hal-hal tertentu.
Dalam catatan pengalaman beliau:
“Menulis Puisi, Pengalaman Manis di Daerah Pahit” (lihat Dewan Sastera, Mei 1986) T. Alias Taib menyatakan:
“… Penderitaan keluarga, kecintaan kepada buku, ketenteraman alam kampung dan pendedahan awal kepada puisi berkacau-bilau dalam diri saya … menjadikan saya sangat akrab dengan buku.”
Ternyata Alias banya
belajar berkarya daripada kesedaran beliau terhadap apa yang berlaku di skitar
beliau. Beliau mulai berkenalan dengan A. Samad Said, Pramoedya Ananta Toer,
Mochtar Lubis, Keris Mas, Chairil Anwar, Arena Wati dan banyak lagi melalui
pembacaan yang meluas. Nama-nama ini memberikan keazaman kepada beliau
menyampaikan apa yang terbaca oleh perasaan beliau terhadap persekitaran beliau
kepada masyarakat.
Sebelum terkenal sebagai penyair
yang dikenali ramai, T. Alias Taib terpaksa menunggu selama empat tahun untuk
menembusi media cetak. Namun penantian tersebutt bagi beliau tidaklah sia-sia
kerana beliau banyak memperoleh pelajaran tentang kaedah dan fatwa menulis
puisi yang baik. Beliau dalam tulisan yang sama menyebut:
“Dalam ‘dunia aku’ yang dipenuhi ‘bunga dan duri’ serta ‘ombak dan angin’, saya belajar mengembangkan sayap kepenyairan saya dengan menggunakan deria sebaik-baiknya. Saya belajar melihat dengan ‘mata penyair’, menghidu dengan ‘hidung penyair’, merasa dengan ‘lidah penyair’ dan menyentuh dengan ‘tangan penyair’. Saya mulai peka dengan isi alam. Saya mulai mempertajamkan sensitiviti saya.”
Daripada petikan di atas dapat
disimpulkan bahawa seseorang penyair mempunyai ketajaman deria yang berlainan
dengan orang biasa. Untuk menjadi penyair bermakna seseorang itu perlu memiliki
deria penyair. Umar Junus selanjutnya menyatakan:
“… Sebenarnya, sebagai hal yang kedua, menurut Alias, ada dunia dualisme. Dunia yang dibawa oleh sajak-sajaknya mewakili dunia penyair, adalah dunia yang baik. Dunia dengan ketinggian moral dan perasaan kemanusiaan. Dunia di luarnya adalah dunia yang serba jahat kerana dikuasai oleh hantu politik dan wang.”
Oleh itu tidak hairanlah
kalau T. Alias Taib menganggap bahawa puisi ialah genre sastera yang paling
tinggi martabatnya.
Untuk mengetahui pemikiran
beliau secara lebih mendalam, kami (Wan Nizar Wan Taib dan Sirai Daha) sempat
menemu bual beliau di kediaman beliau pada 12 Oktober 1991:
WAN NIZAR WAN TAIB: Sebagai permulaan, boleh saudara ceritakan
bila dan bagaimana minat terhadap sastera, terutamanya puisi, mula muncul dalam
diri saudara?
T. ALIAS TAIB: Sewaktu
saya di sekolah menengah pada tahun 1955-57, saya mempelajari sastera Inggeris.
Dari situlah saya mula cenderung kepada sastera. Saya bermula dengan sastera
Inggeris kerana waktu itu bahasa pengantar ialah bahasa Inggeris. Saya masih
ingat guru sastera saya pada waktu itu meminta kami menghafal puisi Inggeris
dan memberi analisis di hadapan bilik darjah, Jadi apabila tiba giliran saya,
kalau tidak silap, saya memilih puisi “The Dove” ataupun “Merpati” ciptaan
Walter de la Mare, seorang penyair klasik dari England. Saya baca dan saya beri
huraian kepada kawan-kawan sedarjah, dan ternyata guru sastera Inggeris itu
berpuas hati dengan penerangan yang saya beri. Jadi, dari situ saya yakin dan
rasa semacam keseronokan membicarakan tentang puisi. Sejak tahun 1958, saya
mula banyak membaca buku-buku yang mengandungi puisi-puisi Inggeris dan puisi
Melayu. Itulah kalau boleh saya katakan tangga pertama saya yang menghantarkan
saya ke dunia puisi.
SIRAI DAHA: Kenapa saudara meminatinya?
T. ALIAS: Saya
barangkali seperti juga penyair-penyair lain, meminati puisi kerana saya kira,
bentuk sastera yang paling halus, dengan bahasa yang murni dan berirama ialah
puisi. Sebagai orang Melayu kita ada tradisi, seperti mendengar cerita atau
dongeng daripada nenek kita. Dulu sastera lisan disampaikan dengan bercerita.
Sebagai contoh, semasa kecil saya mendengar cerita Seribu Satu Malam. Jadi saya
dibesarkan dalam suasana bercerita. Sebelum tidur, misalnya, nenek akan
bercerita satu atau dua buah cerita. Inilah yang membuat saya terpesona dengan
baris-baris dalam puisi kerana ia halus, berirama, dan murni.
WAN NIZAR: Berdasarkan karya-karya saudara yang telah
terbit minat utama saudara ialah puisi. Mengapa? Selain daripada puisi, saudara
juga turut melibatkan diri dalam genre-genre sastera yang lain. Bolehkah
saudara terangkan serba sediki tentangnya?
T. ALIAS: Selain
menulis puisi, saya juga menulis dan membaca cerpen, esei, dan juga terjemahan.
Namun demikian saya lebih menumpukan perhatian kepada puisi. Sesetengah orang
lebih jelas dalam cerpen atau novel, tetapi saya tidak. Shahnon Ahmad lebih
senang mengalirkan perasaannya dalam novel. Tetapi saya memilih puisi kerana
saya fikir apabila seseorang itu dapat menguasai genre puisi ini, genre-genre
lain tidak menimbulkan masalah. Yang kedua pula saya ada terbaca bahawa antara
genre-genre ini, genre puisilah yang paling tinggi martabatnya. Tidaklah
bermakna genre-genre lain itu tidak baik. Kesemuanya baik tetapi dalam puisi
ataupun dalam penulisan puisi kedudukannya agak tinggin dibandingkan dengan
cabang sastera yang lain.
SIRAI: Apakah tema yang sering saudara utarakan
melalui karya-karya yang saudara hasilkan?
T. ALIAS: Saya
menyentuh hampir semua aspek kehidupan. Pada mulanya, semasa saya mula-mula
menulis iaitu ketika berumur 20 tahun, saya banyak menulis tentang alam. Tetapi
sedikit demi sedikit saya menyentuh pula hal yang lebih rumit, masalah dalaman
manusia, masalah sosial di sekitar kehidupan saya dan juga masalah-masalah
manusia lain. Semua ini saya dapat melalui perbualan dengan teman-teman
ataupun, kadang-kadang saya pungut dan kumpul daripada bahan-bahan bacaan
seperti beberapa buah buku Inggeris karya Idries Shah, Caravan of Dreams, iaitu
kisah-kisah yang mengandungi nilai kebijaksanaan. Saya juga cuba menulis
cerpen, dan ini saya lakukan pada peringkat awal saya menulis. Kalau tidak
silap saya, saya ada tiga puluh buah cerpen yang sudah terbit. Saya juga
menulis esei. Ini saya lakukan apabila sudah agak bosan atau jemu membuat
puisi. Maka saya berpindah pula ke satu bidang lain, kemudian saya akan balik
semula kepada puisi. Tidak macam sesetengah penulis lain yang menulis beberapa
bidang dalam sastera secara serentak. Ertinya dia menulis puisi, cerpen, novel,
dan esei pada masa yang sama, tetapi saya tidak. Hanya apabila saya jemu
barulah berpindah kepada esei, cerpen untuk sementara waktu. Cerpen sudah lama
saya tinggalkan. Saya rasa ingin juga hendak mengarang cerpen semula.
WAN NIZAR: Apabila kita menyebut tentang sajak, kita
akan sentiasa teringat kepada puisi Melayu lama. Jadi pendapat saudara, adakah
puisi Melayu Lama itu penting untuk dihidupkan pada hari ini dan adakah ia
mempunyai pengaruh pada karya-karya puisi saudara?
T. ALIAS: Ya! Ini
suatu aspek yang agak menarik. Saya suka soalan ini. Memang saya berpendapat
bahawa untuk seseorang mendalami bidang puisi dia harus mempunyai latar
belakang yang baik tentang puisi Melayu Lama sebab puisi Melayu Baru bertolak
daripada puisi Melayu lama seperti pantun, syair, gurindam, seloka dan
sebagainya. Ini semua bahasa berirama. Puisi baru pun bahasa berirama juga
walaupun kita dapati ada sesetengah sajak bebas yang tidak mementingkan irama.
Tetapi walau macam mana bebas pun puisi itu, ia harus bertolak daripada bahasa
berirama. Puisi mementingkan irama. Yang tidak berirama itu prosa. Memanglah,
macam saudara katakan tadi, memang ada pengaruh puisi Melayu Lama dalam
penulisan puisi Melayu moden ini. Misalannya yang jelas ialah bunyi akhir pada
suku kata, itulah yang dikatakan pengaruh. Tetapi dari sudut pemikiran mungkin
tidak sama dengan puisi lama. Pemikiran dalam puisi baru lebih kompleks dan
lebih rumit. Dalam puisi moden, kita dapati banyak persoalan tentang masyarakat
semasa. Memang ada puisi yang menceritakan tentang alam. Puisi lama pun
kebanyakannya tentang alam. Kita memuja keindahan alam. Saya sendiri belajar
menilai dengan menghayati puisi-puisi Melayu Lama yang baik. Dari sinilah saya
belajar bagaimana penggubah itu mengekalkan bunyi yang baik, pembayang yang
baik, maksud yang baik, dan sebagainya.
SIRAI: Tadi saudara ada menyebut puisi bebas.
Apakah pandangan saudara tentang puisi bebas?
T. ALIAS: Pada fikiran
saya, tidak ada seni yang bebas mengikut makna yang sebenarnya. Ia mesti
terikat dengan sesuatu kaedah. Kita tidak boleh lepaskan puisi kita sehingga
tidak ada peraturan yang perlu kita ikut. Bebas di sini pada tanggapan saya,
bebas tidak mementingkan sangat suku kata yang akhir atau panjang pendek
sesuatu baris. Itulah maksud bebas agaknya. Tetapi walaupun begitu, bentuk
puisi itu harus ada. Kalau kita tidak pelihara
bentuknya ia akan menjadi prosa. Bentuk itu, harus ada rangkapnya.
Walaupun, misalnya suku kata akhir itu tidak sama bunyinya tetapi mungkin di
tengah-tengahnya ada kata-kata yang sama bunyi. Jadi tidak juga bebas kalau
kita tengok dari situ. Saya kurang bersetuju dengan kebebasan puisi ini. Saya lebih
suka, jika ada semacam kawalan, katakanlah diwujudkan semacam satu lingkungan,
bulatan dan kita duduk di tengah-tengah bulatan itu, kemudian kita boleh bebas
di dalam bulatan tadi, tetapi tidak boleh keluar daripada kawasan tadi. Kalau
kita keluar, kita melanggar tertib menulis puisi, misalnya.
WAN NIZAR: Aspek bahasa dalam sesebuah puisi itu
penting. Ada puisi-puisi yang menggunakan bahasa yang disingkatkan ataupun
dipotong di sana sini, tanpa menggunakan bentuk tatabahasa yang betul.
Bagaimana pandangan saudara tentang hal ini?
T. ALIAS: Bagi saya,
seboleh-bolehnya saya cuba tunduk kepada tatabahasa. Namun dalam beberapa hal,
saya terpaksa langgar tatabahasa, tetapi dalam keadaan sedar. Ada sesetengah
penyair tidak faham tentang tatabahasa, terutamanya penyair muda. Mereka
langgar dan tidak sedar tentang perlanggaran itu. Tetapi kalau saya langgar,
saya buat itu dengan satu kesedaran, kerana saya sendiri mempelajari
tatabahasa. Bagi saya, seboleh-bolehnya bahasa puisi haruslah bersih. Jadi kalau
terdapat puisi yang bahasanya tidak betul, ketidakbetulan bahasa itu mestilah
bersebab. Jika kita minta penyair menceritakan balik diksi yang dipilihnya,
tanya kenapa dia langgar tatabahasa, penyair berkenaan boleh menjelaskan, maka
pelanggarannya itu boleh diterima. Tetapi kalau penyair itu secara tidak sedar
telah melanggar tatabahasa dan tidak pula dapat menjelaskan, saya tidak
bersetuju.
SIRAI: Apabila kita menyebut tentang aspek
sintaksis dalam tatabahasa, ada yang menggunakan bentuk inversi, iaitu penggunaan
bahasa secara terbalik. Apa pandangan saudara tentang hal ini?
T. ALIAS: Dalam puisi,
inversi ialah ‘gaya’. Gaya berhubung dengan bentuk. Bentuk puisi termasuklah
metafora, personifikasi dan sebagainya. Jadi bahasa yang terbalik tadi ialah
salah satu unsur-unsur bentuk puisi. Saya berpendapat hal-hal yang semacam ini
boleh dimasukkan dalam puisi. Yang penting bagi saya, kita mempunyai alasan
kenapa kita berbuat begitu. Sekiranya seorang penyajak itu boleh
menjelaskannya, bolehlah dia membuatnya. Tetapi kebanyakan penyajak muda,
melakukannya ikut perasaan. Kebanyakan mereka tidak berapa boleh bercerita
tentang ini. Mereka Cuma berasa sesuai, sedap, suka atau sebati dengan dirinya,
dia pun menggunakan perkataan itu.
WAN NIZAR: Dalam menghasilkan puisi, semestinya ada
ilham yang timbul. Bagaimanakah pula saudara?
T. ALIAS: Ilham ini
semacam cetusan awal. Saya menulis biasanya daripada pemerhatian. Hal ini biasa
dilalui oleh penyair lain. Melalui pengalaman, saya menulis tentang banjir.
Melalui pembacaan, misalnya, pada puisi “Godot” dalam kumpulan terbaru saya
iaitu Piramid. Godot ialah watak ciptaan Samuel Beckett dalam novel yang
berjudul Waiting for Godot. Saya tertarik dengan watak Godot yang
tertunggu-tunggu sesuatu yang tidak tiba. Kadang-kadang melalui perbualan
dengan sahabat-sahabat sayam tercetus juga ilham untuk saya menulis puisi,
“Catatan Tentang Sahabat” misalnya. Juga melalui filem, gambar dan
cerita-cerita yang menarik. Dari sinilah kalau ada sesuatu yang menarik, saya
akan gubah menjadi puisi. Jadi itulah antara cara saya mendapat sumber dan
bahan untuk saya menulis puisi.
SIRAI: Terdapat penulis yang terus mencipta karya
apabila mendapat ilham dan ada yang mencatatnya dahulu dalam bentuk nota.
Bagaimana pula dengan saudara.
T. ALIAS: Saya akan
menimbang dahulu sebelum menulis. Banyak sebab mengapa saya berbuat demikian.
Pertama, saya akan mengkaji dahulu, ada perkara yang ingin saya tulis atau
tidak. Saya juga kena memikirkan sama ada ia akan menjadi sebuah puisi yang
baik. Yang ketiga pula, saya akan menyoal diri saya, adakah ini akan memberi
pengalaman baru kepada pembaca, ini yang penting. Jika pada pertimbangan saya
ia tidak akan memberi pengalaman baru kepada pembaca, saya tidak akan tulis.
Setiap kali saya menulis puisi, saya berharap puisi itu akan menjadi pengalaman
menarik, satu pengalaman baru dan ada kejutan kepada pembaca.
Setelah saya menimbang dan fikir
masak-masak, barulah saya tulis. Saya juga menggunakan buku catatan. Pertama,
saya memastikan bahawa ia sesuai untuk ditulis, setelah itu barulah saya
memilih diksinya ataupun kata-kata yang sesuai untuk puisi itu. Apabila saya
ada tiga atau empat diksi bolehlah saya bertolak. Saya selalu menitikberatkan
ayat atau baris pertama. Biasanya ayat pertama itulah yang mengundang pembaca
untuk membaca puisi saya. Kalau ayatnya hambar dan saya tidak dapat
menggantikannya dengan ayat yang menarik, saya lupakan saja. Walaupun isinya
menarik saya tidak boleh memulakannya.
WAN NIZAR: Tadi saudara katakan yang saudara
mementingkan khalaya, para pembaca, atau peminat puisi. Apa pula pendapat
saudara bagi mereka yang menghasilkan puisi-puisi kabur?
T. ALIAS: Khalayak
penting. Sebagai seniman, sama ada penggubah lagu, pelukis, penulis atau apa
saja bidang yang dipilih, kita berkeinginan untuk berhubung dengan khalayak.
Kalau kita berkarya dan karya itu tidak boleh berhubung dengan orang lain, saya
fikir karya ini tidak akan sampai ke mana-mana. Apa gunanya berbuat sesuatu
tetapi tidak boleh berkongsi dengan orang lain. Yang penting bagi saya dalam
menghasilkan sesebuah karya, ialah memindahkan pengalaman kita kepada satu
pihak lain, iaitu khalayak kita. Kalau kita siapkan satu karya untuk memuaskan
hati kita saja, saya fikir tidak ada guna.
SIRAI: Secara tidak langsung saudara menyokong pendapat
“Seni untuk Masyarakat”?
T. ALIAS: Ya, untuk
masyarakat, ertinya kita cipta seni untuk dinikmati masyarakat kita. Ingin saya
jelaskan sedikit tentang karya yang bersifat peribadi. Ada pendapat mengatakan
bahawa, karya sedemikian terlalu personal atau terlalu peribadi sifatnya.
Sebenarnya saya pun ada juga puisi yang bersifat personal, tetapi saya yakin
kalau kita bercerita dari sudut yang menarik sehingga orang lain terasa sebagai
pengalamannya sendiri, karya tidak akan bersifat peribadi. Pembaca boleh
berkongsi pengalaman dengan kita. Oleh itu, kalau yang dimaksudkan ‘peribadi’
itu tentang satu pengalaman peribadi saya, tetapi jika penting untuk dikongsi
dengan orang lain atau diketahui oleh orang lain, mengapa tidak dijadikan
sumber penciptaan? Yang dikatakan ‘peribadi’, barangkali cara penulis bercerita
tidak begitu jelas, pilihan kata-kata pun agak samar-samar sehingga sukar
difahami – itulah puisi kabur tadi.
WAN NIZAR: Di negara kita sudah muncul beberapa orang
penyair yang berkaliber dan prolifik. Antara penyair yang boleh dikategorikan
sebagai penyair yang baik, siapakah yang saudara kagumi? Bagaimana dengan
pengaruh mereka terhadap diri saudara?
T. ALIAS: Saya
sebenarnya senang dengan semua orang. Apabila dia menyair dengan baik dan serius,
saya senang. Tetapi yang saya kagum tidak ramai. Saya senang dengan penyair
yang baru-baru ini diumumkan sebagai Sasterawan Negara iaitu Prof. Muhammad
Haji Salleh, Kassim Ahmad, juga Baha Zain. Mungkin Latiff Mohidin juga. Seperti
saya katakan tadi, saya baca semua. Saya membaca karya empat orang penyair tadi
untuk menganalisis secara mendalam seperti menilai dari segi penggunaan bahasa,
persoalan yang ditimbulkan, kecenderungan mereka, dan sebagainya.
SIRAI: Ada pendapat yang mengatakan bahawa saudara
mempunyai persamaan dengan Latiff Mohidin. Bagaimana reaksi saudara?
T. ALIAS: Mungkin ada
persamaan. Terutamanya pada peringkat permulaan saya menulis. Ini saya percaya
tidak dapat dielakkan. Namun setelah saya menulis dengan lebih lama, saya mula
mempunyai imej sendiri. Bagaimanapun, sekiranya dikatakan saya dipengaruhi
Latiff Mohidin, saya akui. Apabila kita mengkaji atau membaca karya-karya yang
baik, secara tidak disedari, gaya atau cara orang itu menyampaikan ideanya
mengalir ke dalam diri kita. Hal ini pada saya tidak mengapa, asal jangan kita
meniru bulat-bulat karya orang lain dengan hanya menukar beberapa patah
perkataan dalam karya orang lain. Saya juga mempelajari teknik-teknik menulis
puisi daripada penyair-penyair luar negara, kebanyakannya dari Amerika Latin.
WAN NIZAR: Ramai penyair kita yang berjaya menghadapi
proses penghijrahan dari desa ke bandar dalam usaha memperkembang kegiatan
kepenyairan mereka. Bagaimana pendapat saudara? Adakah penghijrahan tersebut
bermanfaat kepada penyair?
T. ALIAS: Secara
peribadi saya mengakui bahawa ia memang mendatangkan kebaikan. Di bandar,
banyak persoalan yang boleh diutarakan melalui puisi. Persoalan-persoalan bukan
sahaja lebih banyak, malahan lebih kompleks sifatnya.
Selain itu di bandar, khalayaknya
lebih besar. Para penyair mempunyai saluran yang lebih luas untuk
mengetengahkan karyanya. Ini memberikan perangsang kepada seorang penyair untuk
terus berkarya dan meninggikan lagi mutu kepenyairannya.
SIRAI: Bagaimana tanggapan saudara tentang dorongan?
Adakah saudara merasakan tanggungjawab terhadap khalayak sebagai suatu daya
pendorong?
T. ALIAS: Ya, tetapi
saya tidak anggap ia sangat penting. Apa yang penting kesungguhan dan kejujuran
dalam berkarya.
SIRAI: Bagaimana dengan keluarga saudara?
T. ALIAS: Saya tidak
mendapat sebarang dorongan daripada keluarga. Sungguhpun begitu, mereka amat
memahami diri saya. Saya mempunyai bilik bacaan sendiri. Saya akan berada dalam
bilik tersebut tanpa diganggu oleh sesiapa. Mereka tidak akan mengganggu saya,
terutamanya jika saya memberitahu bahawa saya perlu bersendirian. Saya memang
tidak boleh membuat kerja dalam suasana yang bising.
WAN NIZAR: Saudara memulakan penglibatan dalam dunia
sastera sejak di bangku sekolah lagi sehingga kini, adakah saudara berasa
bahawa perkahwinan saudara membawa apa-apa perubahan bagi dunia berkarya
saudara?
T. ALIAS: Tidak.
Isteri saya tidak campur tangan dalam kerja saya.
SIRAI: Apakah pesan dan harapan saudara kepada
penulis muda kita?
T. ALIAS: Saya gembira
melihat bertambahnya bilangan penulis yang menggemari puisi. Saya kira penulis
sekarang ini beruntung kerana mempunyai peluang yang luas untuk berkarya;
dengan adanya banyak saluran seperti akhbar, majalah dan sebagainya. Malangnya
penulis muda kita terlalu cuai dalam berkarya dan tidak begitu faham atau
sengaja tidak mahu memahami aspek-aspek bahasa. Kadang-kadang mereka terlalu
menurut dan mengikut kehendak pihak-pihak tertentu. Penyair muda boleh meniru
cara orang lain tetapi janganlah bulat-bulat. Saya kira lebih baik kalau mereka
menganalisis karya-karya terkenal sebagai bahan untuk belajar, seperti daripada
ciri-ciri puisi mereka yang baik.
Sumber: Jambak 4, DBP (1995)
Sumber: Jambak 4, DBP (1995)
Ulasan
Catat Ulasan