Padamu Ibu – Isbiha



Nafas sesak, ibu, di bawah debar kota
mata menyorot pandang betapa gelap menerpa
dalam alunan gelombang dunia pura-pura.

Malam yang kian berlarut, ibu
mata sial ini masih belum mau lelap
sebab antara dengkur kasar teman-teman
dan salakan anjing sertai gelodak jiwa
hati ini, ibu, bisa menagih rindu
dibawa alun pancaran sinar matamu.

Atas degup jantung, ibu, betapa lanjutnya usia
pelan-pelan kupejamkan ini mata
lantas aku cuba mengerti sekarang
bahawa keranamu, ibu, kujelajahi ini kota
dan untukmu, ibu, kulapangkan ini dada.

Kalau di persimpangan hidup ini tersendu aku
kuakui cuma kau saja, ibu, yang lebih tau.

Dewan Sastera, Mac 1971

Ulasan

Catatan Popular