Di Kamar Sewaan – Halimah Haji Ahmad



Sebulan dulu kupulang ke kampung
jauh di sebuah permatangan
di kelilingi sawah ladang
tanpa suara riuh dan sibuk
betapa damai terasanya.

Semalam di kota di sebuah kamar sewa
dekat mengintai jurang-jurang kematian
pada wang dijeling berlubang dinding
berobek atap bosan meratap
udara hanyir di hujung kepala
tangan-tangan panjang di tingkap terbuka
betapa lemas terasa.

Jiran bertengkar siang malam
hati diganggu tanpa tenteram
luas kamarku sekangkang kera
buat bernafas ke pagi cuma.

Wajah bapa terbayang
tanpa dikenang
tangannya tak pernah kucium
kerana hati kami
dengan hatinya
dilanda darah dua rona.

Dan pernah dulu ditanya Mak Usu
keadaan di kota
“ah, rumah besar gaji besar
manis dan seronok dengan seribu cerita.”

Dewan Sastera, Februari 1971

Ulasan

Catatan Popular