Kucuba Bunuh Engkau – Nahmar Jamil
Kucuba bunuh engkau
tapi engkau tidak mati
kucuba bunuh diriku
tapi aku masih hidup.
Kucuba bunuh engkau
kerana engkau adalah
kesedihan
kerana engkau
mengenangkan perpisahan
kerana engkau isteriku
Kucuba bunuh engkau
engkau tidak mati
kerana engkau adalah
sejarah
sejarah tidak mati.
Kucuba bunuh diriku
aku masih hidup
kucuba bunuh kesedihan
kesedihan menghitam
segala-galanya
Engkau adalah
sejarahku, dik
seperti sejarah
manusia lainnya
sejarah adalah
kenangan dan pengalaman
sejarah menyorot
kesilapan dan kebenaran.
Perpisahan kita kerana
sengketa
setiap manusia dengan
sengketanya sendiri
sengketa tidak dapat
dielakkan
kegagalannya
perpisahan.
Perpisahan kita
menyayat kalbu
kerana kasih sedang
membunga
lalu patah tangkainya
oleh ribut ganas
bernama nasib.
Aku tau betapa kasihmu
aku tau betapa kasihku
beningnya bagaikan
bulan di langit
birunya bagaikan
hamparan laut.
Aku dapat merasakan
hangatnya air matamu
aku dapat merasakan
hangatnya air mataku
bagaikan tiada bertemu
kembali
bagaikan entah ke mana
….
Ya, duka itu di
mana-mana
duka kita kerana
perpisahan
duka vietnam kerana
peperangan
duka palestin kerana
penindasan.
Sia-sia kucuba bunuh
engkau
kerana engkau tidak
mati
kerana engkau adalah
sejarah
sejarah tidak mati.
Sia-sia kucuba bunuh
diriku
kerana aku masih hidup
kucuba bunuh kesedihan
kerana kesedihan
menghitam segala-galanya.
Dewan Sastera, Mac
1971
Ulasan
Catat Ulasan