Satu Cerita Cinta – Zurinah Hassan
di hari ia melahirkan cintanya
ia berkata kepada
kekasihnya
“kita tidak usah
berjanji untuk setia
kerana kita tidak mahu
setia kerana janji
kita akan setia kerana
cinta
hanya kerana cinta.”
di hari perkahwinannya
ia berkata kepada
kekasihnya
“perkahwinan ini
adalah ikatan
tapi kita tidak usah
terikat kerananya
kita terikat kerana
cinta
hanya kerana cinta.”
di hari-hari
kemudiannya
ia berkata kepada
dirinya
“perkahwinan
kadang-kadang mengajar kita
melupakan cinta
untuk belajar hidup
bersama.”
Dewan Sastera,
Februari 1982
Ulasan
Catat Ulasan