Dua Dunia – Anis Sabirin


antara kebimbangan
dan hempasan ombak yang mengejar
bayang-bayang neon di San Francisco
adalah tahun-tahun berlalu
membawa kematangan
membawa gugurnya
mimpi palsu

terasa dingin sekali angin
musim tua
orang-orang pantas berjalan
berbalut baju wool dan gelisah
kapal di teluk begitu kelabu warnanya

begitu jauh pengembaraan
dari abad ke abad
dari benua ke benua
seperti roh
sesat jalan
                hilang tujuan
                                mencari jalan pulang

di pesisir pantai timur
di bumi hijau Kelantan-Terengganu
petualang berhenti melepas lelah
mencari jawapan
mencari damai

San Francisco

21 Ogos, 1981

Dewan Sastera, Okt. 1982

Ulasan

Catatan Popular