Ulasan Puisi Permintaan Raja Kepada Gembala

oleh: Abdul Rahman Shah

Sempena Hari Puisi Sedunia aku mengubah sedikit format siri ini. Akan mengulas sebuah puisi yang bagus dan tonjolkan apa yang membuatkan puisi itu bagus - supaya boleh sama-sama belajar.

Permintaan Raja kepada Gembala di Pergunungan Kashmir (Berita Harian, 18 Mac 2018) oleh Rasydan Fitri yang ditulis di Sonamarg, Kashmir.

"O gembala, seru raja
dipakaikan padanya mahkota."

Dua baris pertama ini dimulakan sebagai sebuah dialog seorang raja kepada pengembala, malah raja itu memakaikan mahkota kepada pengembala itu.
Secara tematik dua baris ini mungkin merujuk kepada kejatuhan empayar Mughal di kawasan Kashmir, tiada lagi raja di sana, maka rakyat biasa adalah raja.



Penggunaan "O" pada permulaan puisi memberitahu ini bukan puisi biasa, malah mengingatkan aku kepada puisi Inggeris era Romantis dengan Percy Shelly dan Lord Byron - malah penggunaan koma dan noktah puisi ini juga mengingatkan pada stail penulisan pemuisi era Romantis. Seperti seorang romantis tegar juga, Rasydan ingin membawa kita berjalan-jalan di Kashmir.

"Kami ini biri-biri putih, meragut
sutera di puncak gunung
bawa kami turun, pulang
bercermin di Bud Dal, sujud
di laman Ishrat Mahal:
jadi korban mahar pedagang
jadi bulbul merenggang mawar"

Lapan baris seterusnya diberitahu dari perspektif pengembala tadi, bahawa mereka hanya biri-biri putih (simbolik baik dan suci, seorang pengikut - juga secara simbolik boleh dikaitkan kepada Jesus tetapi nampaknya tidak dalam puisi ini). Biri-biri juga boleh merujuk kepada bagaimana mereka hidup bawah tekanan dua lagi kuasa besar yang sedang berjiran dengan.

Rasydan dalam membawa kita ke Kashmir menonjolkan tempat dan aspek kebudayaan mereka - sutera, refleksi diri di tasik Bud (Bud Dal - tasik Bud), malah melawat Ishrat Mahal (sebuah istana Mughal yang dijadikan masjid oleh Shah Jahan). Malah di laman Ishrat Mahal (bermaksud Taman Keseronokkan) ramai penjual beli kelihatan, kerana ia adalah sebuah tourist spot yang popular.
Diselitkan sebuah kritik sosial di bahagian ini. Pedagang boleh dikaitkan kepada kedua-dua negara India dan Pakistan yang sedang berperang untuk memiliki Kahsmir (dengan imej "mahar" dan "merenggang mawar" mengikat simbolisme). Ekonominya diragut kuasa besar.

"senyum gembala
dalam genggamnya
kuntum safron"

Tiga baris terakhir puisi ini penting kerana safron adalah antara eksport terbesar Kashmir, menunjukkan mereka masih ada lagi sesuatu untuk senyum terhadap, safron sebagai simbol harapan terhadap masa hadapan.

Secara keseluruhannya puisi ini boleh dikatakan sebuah refleksi penulis sewaktu mengunjungi Kashmir. Setiap pelawat kemungkinan besar akan melawati kawasan pergunungan, kawasan tasik sehinggalah ke Ishrat Mahal. Sebuah refleksi penuh kesedaran tentang konflik sosio-politikal yang sedang berlaku. Malah penulis berjaya membawa kita, pembaca untuk melawat Kashmir tanpa menjejakkan kaki ke sana pun.

Dari segi teknik, selain mengingatkan kepada puisi era Romantisme, seluruh puisi ini diikat dengan baik, dengan simbolisme dan bahasa yang tepat. Rasydan tidak memaksa perkataan bombastik tetapi bermain dengan imej, bermain dengan imaginasi pembaca sendiri dalam percubaan untuk menebak puisinya.

Aturan perjalanan dari atas gunung ke bawah juga menunjukkan aliran yang baik dalam puisi ini, memudahkan pembacaan dan tidak melompat ke hulu ke hilir. Aliran puisi ini juga jelas pada pecahan rangkap di mana rangkap pertama merujuk kepada sejarah yang mempengaruhi masa kini - dan rangkap kedua merujuk kepada harapan kepada masa hadapan.


*** ABDUL RAHMAN SHAH merupakan seorang eseis dan penulis. Beliau membuat kerja-kerja freelancer dalam penterjemahan & suntingan. Sekarang sedang mengendalikan Cukaria, laman cerpen atas talian oleh FIXI.


disunting dari entri asal Abdul Rahman Shah

Ulasan

Catatan Popular