Terawih - Firdaus Abdullah



bahawa ini adalah satu barisan
yang beriak dan bergelombang
beralun dalam gerak dan suara
iman dan takwa;
menuju menang, menuju menang

bahawa ini adalah gerak dan suara
memohon dan memuja
semarak dalam paduan takwa
menggilap syiar
khusyuk tawadduk dalam doa penyerahan
bersama gema kesaktian lafaz:
Allahuakbar, Allahuakbar

bahawa ini adalah barisan semangat
suara yang kudus
merdu syahdu dalam salawat rindu
serentak bergerak membina hati tulus
mencari jalan lurus;
berkat syafaatmu kekasih Allah
aduhai Rasul, aduhai Rasul

bahawa ini adalah barisan gelora takwa
mengobar semarak malam-malam mulia
yang sangat berkat dan amat sempurna
melebihi seribu purnama
harum semerbak dalam limpahan kurnia-Mu
ya kahffie, ya waffie:
duhai penawar penunai janji.

bahawa ini adalah barisan tenaga tersimpan
ingatan tentang satu kebangkitan: berkobar
dalam potensi pijar bara dan nyala api
membakar segala mungkar
dalam potensi semerbak wangi
dan semarak warna ratusan bunga
mengutus kudus
menyemai damai
ke setiap rongga dada
ke seluruh pelosok rasa

Berita Minggu, 10 Julai 1983
Hadiah Sastera Malaysia 1982-1983

Ulasan

Catatan Popular