Dongeng Dinihari - Latiff Mohidin



sang maut itu datang dalam senyap pada dinihari
dengan perlahan-lahan pula mengetuk pintu kota
penjaganya seorang tua yang sentiasa berdalih
pun tersenyum hormat sambil menyusun kata-kata:

saya mengalu-alukan kedatangan tuan yang mulia
sebagaimana tahun-tahun lalu dan kurun-kurun lalu
apalagi pada dinihari yang tidak sepertinya ini
sebenarnya keadaan di sini tak perlu tuan bimbangkan
lihatlah bangunan jalan raya gedung dan rumah itu
segalanya senyap aman damai dan setiap penghuninya
telah lama lelap menutup mata kaku dan dingin
seperti batu-batu berat pada tembok gerbang ini
dan lampu-lampu yang terang-benderang itu hanyalah
untuk menerangkan angka-angka pada kuburan mereka
sesungguhnya saya sentiasa ingat akan kehadiran tuan
seperti yang tuan saksikan kini pada papan tanda
bukankah ayat 'jalan mati' terpampang jelas di sana?
nah oleh kerana itu sungguh tidak perlu lagi tuan
bersusah-susah datang ke kota yang aman damai ini
bagaimanapun marilah kita berbual-bual di sini dulu
duduk-duduk dulu sementara menanti fajar menyinsing...

sang maut itu pun duduk berdiam diri dengan sabar pula
mendengar saja celoteh orang tua bangka penjaga kota
mendengar saja sementara menanti jamnya berdenting

Dewan Sastera, Disember 1983
Hadiah Sastera Malaysia 1982-1983

Ulasan

Catatan Popular