Kucuba Bunuh Engkau – Nahmar Jamil

Kucuba bunuh engkau
tapi engkau tidak mati
kucuba bunuh diriku
tapi aku masih hidup.

Kucuba bunuh engkau
kerana engkau adalah kesedihan
kerana engkau mengenangkan perpisahan
kerana engkau isteriku

Kucuba bunuh engkau
engkau tidak mati
kerana engkau adalah sejarah
sejarah tidak mati.

Kucuba bunuh diriku
aku masih hidup
kucuba bunuh kesedihan
kesedihan menghitam segala-galanya

Engkau adalah sejarahku, dik
seperti sejarah manusia lainnya
sejarah adalah kenangan dan pengalaman
sejarah menyorot kesilapan dan kebenaran.

Perpisahan kita kerana sengketa
setiap manusia dengan sengketanya sendiri
sengketa tidak dapat dielakkan
kegagalannya perpisahan.

Perpisahan kita menyayat kalbu
kerana kasih sedang membunga
lalu patah tangkainya
oleh ribut ganas bernama nasib.

Aku tau betapa kasihmu
aku tau betapa kasihku
beningnya bagaikan bulan di langit
birunya bagaikan hamparan laut.

Aku dapat merasakan hangatnya air matamu
aku dapat merasakan hangatnya air mataku
bagaikan tiada bertemu kembali
bagaikan entah ke mana ….

Ya, duka itu di mana-mana
duka kita kerana perpisahan
duka vietnam kerana peperangan
duka palestin kerana penindasan.

Sia-sia kucuba bunuh engkau
kerana engkau tidak mati
kerana engkau adalah sejarah
sejarah tidak mati.

Sia-sia kucuba bunuh diriku
kerana aku masih hidup
kucuba bunuh kesedihan
kerana kesedihan menghitam segala-galanya.

Dewan Sastera, Mac 1971

Ulasan

Catatan Popular